Resepi: Roti Naik

Sudah lama tidak membuat roti. Terasa mahu makan roti pula. Asyik makan kek pun jemu juga. Tekak mahu sesuatu yang lembut dan manis. Tidak mahu roti kormesil, ada perasaan malas untuk membentuk atau mengintikan roti. Lain kali kita buat.

Pada suatu masa, (macam mahu bercerita kisah dogeng pula.. :p) di Facebook sana sini naik kisah roti naik.

Jemput makan.

Entah apa yang naik saya tidak tahu. Ia roti kosong sahaja, di bakar dalam loyang dan berbentuk seperti susunan bunga. Ketika google-google terjumpa blog http://aziejaya.blogspot.com. Ada resepi Roti naik Pahang. Versi Pahang agaknya, sebab itu namanya begitu dan munkin ada versi lain agaknya. Ada siapa tahu?

Roti ini saya buat dua kali. Kali pertama bakar guna 2 loyang. saiz 8 inci dan 6 inci. Saiz 8 tidak masak di tengah. Munkin kerana terlalu padat dan membakar tidak cukup lama. Oleh itu kena bakar semula. Namun ban yang di tengah sudah tidak seronok untuk dimakan. Mujur ia kelopak bualt-bulat. Kelopak yang tidak masak di tarik buang. Rasa membazir juga walaupun satu biji.

Kali kedua, buat bentuk ban manis dan mufin. Senang untuk dimakan. Makan satu-satu. Yang lain masih cantik tidak rabak kalau tidak habis.

Resepi Roti Naik;

1 biji telur
2 sudu besar susu pekat manis + air = 200ml
3/4 cawan gula
2 sudu kecil ibu roti  (bancuh dengan 100 ml air suam)
2 sudu besar + 1 sudu kecil majerin
500 gm tepung gandum
1 sudu besar susu tepung
Cara cara:

  1. Rendam yis dalam 100ml air suam dengan sedikit gula supaya ianya kembang berbuih. Biarkan sehingga berbuih. ( Kalau tidak berbuih, tandanya yis sudah mati.)
  2. Satukan bahan bahan kering iaitu tepung, gula dan susu tepung.
  3.  Masukkan bahan bahan cecair iaitu air susu dan telur. Kemudian masukkan yis dan digaul rata hingga menjadi doh. (Tepung sudah tidak melekat-lekat di dinding mangkuk)
  4. Akhir sekali, masukkan marjerin dan shortening.  Uli sehingga lembut dan elastik. Tutup dengan tuala basah atau masuk ke dalam plastik dan biarkan seketika sehingga kembang sekali ganda. Bila telah kembang, tumbuk untuk buang udara di dalamnya. Doh sudah cukup kembang apabila kita cucuk/ tekan dengan jari ia tidak melantun kembali dan berbekas.
  5. Bahagikan kepada beberapa biji…(maaf saya tidak kira.) Saya timbang 50gram setiap biji. kemudian susun ke dalam loyang yang sudah di minyak.
  6. Biarkan seketika sehingga doh naik 2kali ganda dan bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 20minit.
  7. Apabila selesai membakar, keluarkan dan sapu dengan mentega.

 

Kronologi:

Bancuh — Uli hingga elastik (5 – 10minit) — Rehat (25minit – 1jam)  —  Bentukkan  —  Rehat (30minit) — Bakar (20minit)

 

Selesai bakar sapu dengan mentega.

Edisi 1, bentuk asli Roti naik.

P1240368

Edisi ke 2

P1240370

Edisi ke 2, bentuk muffin.

Untuk bentuk seperti muffin, doh diletak ke dalam acuan muffin.  Bentuk ban, hanya susun ke atas dulang pembakar.

CSI;

Mudah: Mudah jika ada mesin pengadun. Kalau guna tangan akan mengambil masa lebih panjang.

Rasa: lemak, manis

Tektur: lembut dan gebu. Kulinya garing ketika masih panas.

Rupa: Tiada rupa istimewa namun warnanya yang perang dan berkilat sudah cukup menyelerakan.

Pro: Tidak perlu dibentuk, makan begitu sahaja sudap cukup sedap.

Kon: Proses yang meleret untuk dapat makan Roti.

Adakah saya mahu buat lagi: Ya