Resepi Pai Epal Mini

Hujung minggu yang lalu saja-saja buat pai epal. Mengidap Mengidam sudah lama, tapi penyakit M & A( Malas & Alasan) kuat sangat. Pai epal miniEpal hijau sudah 3 kali dibeli dengan semangat mahu membuat epal hijau. Setiap kali ke kedai, nampak sahaja epal hijau yang posing baik di rak, cintapun mula berputik, jiwa penuh semangat hendak membuat pai epal. Pengakhiran hayat si epal hijau selamat ke dalam perut anak-anak. Alhamdullillah mereka suka jika tidak, masuk dalam perut Cik Tong Sam Pah.Membazir pula.

Pai epal saya buat menggunakan aluminium cup untuk muffin. Senang hendak diurus kalau tidak habis, boleh simpan dalam keadaan cantik. Kalau guna loyang pai, bila hendak makan kena potong-potong. Kalau mahu simpan, hendak makan semula sudah kurang selera. Lagipun saya tidak pasti isi rumah ini suka atau tidak pai epal.

Kelemahan buat mini pula, kena buat banyak berbanding sekali kerja. Untuk resepi ini saya kena buat 9 unit. Terkial-kial juga.

 

Ini resepinya… Happy pai Epal.

A. Inti Epal.

                                      8 biji epal serdahana besar, kupas dan hiris 1cm tebal.                         (Jika membuat saiz pai kecil, epal perlu dipotong kecil-kecil, kiub 1cm supaya cepat masak)
50g gula
50g gula perang
1 sudu besar jus limau (saya guna limau kasturi)
½ sudu kecil serbuk kayu manis
¼ sudu kecil garam
15g tepung jagung
30g mentega

Cara membuat inti;

  1. Epal digaul bersama gula, gula perang, jus limau, serbuk kayu manis dan garam. Perap selama 1 jam. (Sementara itu, saya buat kulinya)
  2. Toskan epal dan ambil jusnya sebanyak 120ml.
  3. Jus dimasak bersama mentega sehingga jus berkurangan dan keperangan.
  4. Epal yang telah ditos digaul bersama tepung jagung.
  5. Tuang jus kedalam epal dan gaul sebati.

B. Kulit

350 g Tepung gandum
30 g Gula
225 g Mentega atau marjerin sejuk dan potong 1 inci.
60 – 120 ml Air sejuk

Cara membuat kulit;

Scrap doh

Scrap doh

1.Satukan gula dan tepung.
2.Masukan mentega dan potong-potong guna doh scrap. Lakukan sehingga tepung seperti butiran atau seperti serdak biskut.
3.Masukan air 60ml dahulu dan tambah bila perlu sehingga adunan bersatu bila dipicit.
4.Bebolakan adunan dan bahagi. Bentukkan seperti syiling dan bungkus dengan plastik dan rehatkan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 20minit.

C. Memasak Pai Epal

1. Panaskan oven.
2. Canai doh yang sedang berehat di dalam peti sejuk. Diameter sama dengan ukuran loyang pai. 2 sisi + diameter lantai loyang. (Saya dapat 9biji pai epal mini dengan menggunakan aluminium cawan saiz 11.)
3. Potongkan juga adunan untuk penutup pai . (Kalau rajin menganyam sila-silalah menganyam. )
4. Angkat doh yang sudah diacu dan letak ke dalam acuan, kemaskan tepi-tepi agar lekat pada dinding loyang.
5. Letak inti epal penuh-penuh. Tutup dengan adunan yang sudah dicanai. Gunting bahagian lebihan dan tekan bahagian tepi dengan menggunakan garpu.
6. Toreh penutup pai untuk melepaskan wap panas ketika proses membakar.
7. Bakar 220 darjah celsius. Hingga keperangan dan jus  mulai meleleh. Lebih kurang 45 -55 minit. (untuk saiz mini, lebih kurang 30 – 40 minit)
8. Sejukan hingga suam-suam sebelum dimakan.

P1240307

Sedap makan suam-suam kerana kulitnya masih garing dan rapuh.

 

Nota:

1. Epal pai bertambah enak apabila dimakan bersama ais-krim vanila.
2. Boleh disejukbeku. Bila hendak makan, keluarkan dan bakar ke dalam oven 45minit atau hingga masak.